BORUSSIA MONCHENGLADBACH 4 UNION BERLIN 1

Marco Rose berbangga berhubung tindakan Marcus Thuram yang berlutut ketika meraikan jaringannya dalam pertemuan dengan Union Berlin apabila pengurus Borussia Monchengladbach itu menganggap penyerang tersebut sebagai teladan.

Thuram menyumbangkan dua gol ketika Gladbach meningkatkan harapan mereka memburu tiket Liga Juara-Juara (UCL) menerusi kemenangan 4-1 yang meyakinkan awal pagi tadi sambil Florian Neuhaus dan Alassane Plea turut mencetak nama selaku penjaring.

Namun, gaya Thuram meraikan gol pertamanya -- jaringan kedua Gladbach -- menjadi tajuk utama apabila pemain berusia 22 tahun itu berlutut sebagai simbolik terhadap rusuhan di Amerika Syarikat (AS) yang terus merebak susulan kematian George Floyd ketika ditangkap di Minnesota, minggu lalu.

Ditanya pendapatnya mengenai tindakan anak buahnya itu, Rose memberi sokongan penuh terhadapnya.

"Marcus telah menyatakan pendiriannya. Dia memberikan contoh penentangan terhadap isu perkauman yang kami semua sokong," katanya kepada wartawan.

Rose bukan satu-satunya yang menawarkan sokongan apabila tonggak Real Betis, Marc Bartra, turut berkongsi gambar Thuram di akaun Twitter rasminya dengan kapsyen berbunyi, "#BlackLivesMatter" dan "#NoToRacism".



Mengulas mengenai persembahan pasukannya, yang menyaksikan Foals mara ke tempat ketiga, Rose menerusi laman sesawang rasmi kelab itu menambahkan: "Kami melaksanakan apa yang kami rancangkan apabila melakukannya dengan baik.

"Union Berlin bergelut untuk bangkit dan berikan tentangan. Dengan penguasaan bola, kami mendominasi bahagian tertentu di sebalik mungkin melakukan satu atau dua kesalahan sederhana.

"Begitupun, kami meledak empat gol yang indah jadi saya sangat gembira dengan prestasi ini dan tentu sahaja dengan keputusannya."