Aksi persahabatan antarabangsa antara Malaysia dan Afghanistan di Stadium Shah Alam malam ini bakal menyaksikan satu pertembungan sengit apabila pertahanan negara, Matthew Davies, dan penyerang pasukan lawan, Zubayr Amiri, melaungkan amaran enggan memberi 'muka'.

Matthew adalah antara lima pemain yang kembali memperkuat Harimau Malaysia selepas diketepikan ketika skuad negara terikat tanpa jaringan menentang Singapura, Jumaat lalu, ekoran kecederaan.

Dijangka membarisi kesebelasan utama menentang Afghanistan, kapten Pahang ini akan mengambil alih tugas Mohd Rizal Ghazali, selaku bek kanan.

Menyifatkan rakan pasukannya di Pahang yang juga perancang tengah Afghanistan, Faysal Shayesteh, sebagai ancaman utama, Davies bertekad untuk memastikan benteng akhir kekal ampuh mengekang segala asakan.

"Saya mengenalinya dan mengetahui bagaimana corak permainannya. Dia juga merupakan jiran saya, kami tinggal di apartmen yang sama. Kami selalu keluar bersama dan dia juga merupakan kawan baik saya.

"Saya telah memberikan semua informasi yang saya ada mengenainya kepada barisan kejurulatihan dan saya mencuba untuk membantu apa yang saya mampu," jelas Davies.

Barisan pertahanan negara, bagaimanapun, dijangka berdepan tugas berat kerana jentera serangan Afghanistan tampak lebih berkualiti.

Memiliki beberapa penyerang bersusuk tegap, sandaran utama skuad bimbingan Petar Segrt untuk merobek gawang Malaysia diletakkan di bahu Zubayr, yang kaya dengan pengalaman bola sepak di Jerman.

"Malaysia merupakan pasukan yang baik. Kami telah melakukan sedikit analisis ketika mereka menentang Indonesia.

"Mendengar berita mengenai keputusan seri ketika bertemu Singapura, saya beranggapan ia akan menjadi satu perlawanan yang sukar untuk kami malam ini.

"Saya mahu menjaringkan gol, sama ada untuk kelab ataupun pasukan kebangsaan, dan saya berharap saya akan menjaringkan gol malam ini," jelas Zubayr.

Perlawanan menentang Afghanistan adalah antara persiapan skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee menjelang saingan Piala AFF Suzuki 2016,bulan depan.

Perlawanan tersebut akan disiarkan secara langsung di Astro Arena saluran 801 & 802 HD, bermula dengan pra-rancangan pada jam 8.00 malam ini.