Jurulatih baru AC Milan, Gennaro Gattuso, tidak sabar untuk bekerjasama dengan Suso, Franck Kessie dan Andre Silva di samping menyifatkan terdapat banyak ruang untuk peningkatan dalam perkembangan trio itu.

Gattuso dinaikkan pangkat daripada jurulatih skuad remaja ke skuad senior selepas kelab mengambil keputusan untuk memecat Vincenzo Montella, yang gagal untuk mengemudi pasukan ke kedudukan yang lebih baik selepas berbelanja besar sebelum musim 2017-18 bermula.

Bekas bintang Itali dan Milan, Gattuso, mengambil alih tugas mengemudi skuad Montella yang kini menghuni tangga ketujuh Serie A dan beliau berharap dapat memberikan inspirasi untuk peningkatan dalam kadar segera berdepan Benvento, hujung minggu ini.

"Saya tidak sabar untuk bekerjasama dengan Suso dan mengenal pasti dia lebih efektif beraksi di bahagian kanan," katanya.

"Saya mahu melihatnya adakah ia benar dan jika dia boleh beraksi dalam posisi lain, saya sedia untuk memberikan ruang kepadanya.

"Franck Kessie merupakan salah seorang pemain yang sangat tidak sabar untuk bekerjasama. Dia kurang memberikan asakan seperti musim lalu ketika bermain untuk Atalanta.

"Terdapat banyak cabaran yang menarik untuk saya di sini serta ruang yang boleh diperbaiki. Kami mampu meningkatkan prestasi dan tidak boleh membuang masa," katanya.

Bintang muda dari Porto, Silva, yang berhijrah dengan tanda nilai EURO38 juta (RM184 juta), masih belum mencetak sebarang jaringan dalam saingan Serie A.

Gattuso berkata penyerang Portugal itu tidak perlu bimbang kerana masa masih ada untuknya membuktikan kebolehan sebenar.

"Dia seorang pemain yang berbakat. Saya berasakan Silva adalah pembelian yang sangat baik dan dia telah beraksi baik dalam saingan Liga Europa (UEL).

"Dia bermain untuk pasukan dan ia merupakan salah satu kekuatan yang dimilikinya. Dia bijak mencari ruang dan kami akan membantunya untuk mencapai tahap yang terbaik," katanya lagi.