Pengendali AC Milan, Gennaro Gattuso, tidak mahu fokus kepada kemungkinan bakal dipecat tatkala mereka mempersiapkan diri untuk berdepan SPAL minggu ini.

Skuad Rossoneri itu bakal melayan kunjungan SPAL di San Siro sambil wujud laporan Gattuso akan dipecat sekiranya terus gagal mempamerkan keputusan positif.

Milan kini menduduki tangga keenam Serie A, tiga mata di belakang pasukan tangga keempat, Lazio, dan mereka sedang berusaha untuk kembali beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah tetapi gagal mencatat kemenangan dalam lima aksi terakhir serta tidak menjaringkan gol untuk empat perlawanan liga berturut-turut.

Keputusan seri 0-0 dengan Frosinone, Rabu lalu, bermakna Gattuso telah melepasi rekod gagal menjaringkan gol bagi tempoh paling lama sejak 1984 tatkala 2 Disember lalu merupakan detik terakhir mereka meraih jaringan di pentas Serie A.

"Ia memang mengecewakan. Kami telah memperbaiki benteng tetapi kini gagal menyumbat gol," ujar Gattuso.

"Kekecewaan paling besar ketika berdepan Frosinone adalah pendekatan dalam perlawanan. Kami perlu peka bahawa pasukan telah melalui tempoh buruk bagi bulan Disember.

"Kami berpeluang untuk menamatkan babak pertama liga dengan 31 mata, sesuatu yang Milan mampu lakukan hanya sekali dalam beberapa tahun terakhir.

"Pemain tidak perlu memikirkan masa depan mereka. Saya menerima keyakinan daripada pengarah kelab dan ia normal apabila keputusan baik diperlukan. Saya tidak perlu berfikir apa yang bagus untuk pemain.

"Saya mahu terus bekerja. Ia merupakan satu keinginan untuk meneruskan perjuangan. Kami dalam tempoh negatif tetapi saya tidak memikirkan masa depan saya.

"Saya berterima kasih kepada semua pihak yang memberi kepercayaan kepada saya. Jika segalanya bagus, saya tetap berdepan tekanan tetapi apa yang penting adalah membimbing pasukan.

"Masa depan saya adalah hari ini dan bersedia untuk perlawanan minggu ini. Kemudian, lihat apa yang berlaku nanti."