Pengendali AC Milan, Gennaro Gattuso, menegaskan beliau bukan "ahli silap mata" selepas mencipta kemenangan ke atas Inter dalam aksi Coppa Italia.

Jaringan kemenangan dalam masa tambahan daripada Patrick Cutrone memastikan kemenangan 1-0 di San Siro, Rabu lalu, dan meletakkan Milan dalam separuh akhir untuk bertemu Lazio.

Kemenangan tersebut menyaksikan penyokong Rossoneri meraikan sesuatu di sebalik mengharungi musim yang sukar, tewas dua aksi Serie A tanpa menjaringkan sebarang gol dan menghuni tangga ke-11.

Tetapi Gattuso menegaskan satu keputusan tidak akan mengubah apa-apa untuk kelab itu menjelang aksi seterusnya bertemu Fiorentina, hari ini.

"Saya bukan ahli silap mata," kata Gattuso.

"Ia adalah perlawanan yang sukar tetapi kami perlu menghadapi satu perlawanan demi satu perlawanan. Kami akan terus bekerja dan menampilkan persembahan terbaik.

"Kami mahu menamatkan separuh musim ini dengan gaya yang lebih baik. Kami menyedari masalah yang harus dihadapi.

"Ia adalah perlawanan yang penting dan telah melonjakkan semangat pasukan," tambahnya.

Gattuso menggantikan Vincenzo Montella selepas beliau dipecat bulan lalu, dengan bekas penyerang Itali itu telah bersetuju untuk mengambil alih Sevilla.

Pengendali berusia 39 tahun itu mengucapkan semoga maju jaya kepada Montella di Sepanyol dan beliau mahu berdepannya dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL) pada masa akan datang.

"Saya berharap beliau akan melakukan yang terbaik di sana. Saya amat menghormati Montella sebagai seorang individu serta sebagai seorang jurulatih."