RIJEKA 2 MILAN 0

Jurulatih AC Milan, Gennaro Gattuso, menuduh pasukannya terlalu berlembut selepas tewas 2-0 kepada Rijeka dalam aksi Liga Europa, awal pagi tadi.


Rossoneri, yang melepaskan satu gol dalam setiap babak di Croatia, tetap gagal untuk menamatkan kempen peringkat kumpulan dengan bergaya.

Walaupun pasukannya masih maju sebagai pemenang Kumpulan D, Gattuso terus menanti kemenangan pertama selepas pertembungan Serie A dengan Benevento hujung minggu lalu berakhir seri menerusi gol lewat perlawanan.

Dan bekas tonggak tengah Milan itu gusar dengan apa yang diperhatikannya sejak menggantikan Vincenzo Montella yang dipecat.

"Saya perasan apabila sesuatu yang negatif berlaku, pasukan hanya lenyap. Oleh itu, kami perlu mengatasinya," kata Gattuso kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas perlawanan.

"Kami perlu menukar arah kerana kami tidak akan pergi jauh jika seperti ini.

"Apabila anda menyarung jersi Milan, anda perlu menghormatinya. Semua ini benar-benar menyakitkan hati saya, kami tidak datang ke sini untuk kalah.

"Apabila kami dipukul di gigi, saya berpendapat kami tidak akan pulih lagi.

"Aksi kami memalukan dan ketiadaan beberapa pemain utama tidak sepatutnya dijadikan alasan," tambahnya.

Dengan pasukannya sudah tercicir 13 mata dengan empat pasukan teratas Serie A, Gattuso percaya kunjungan ke Bologna pada Ahad ini adalah misi wajib menang untuk mereka kembali ke landasan sebenar.

"Kemenangan akan menaikkan semangat. Perlawanan menentang Bologna adalah asas dan kami tidak boleh melakukan kesilapan," katanya lagi.