OLYMPIACOS 3 AC MILAN 1

AC Milan layak tersingkir daripada Liga Europa di tangan Olympiacos, kata pengurus, Gennaro Gattuso.


Milan hanya memerlukan satu mata untuk melolosi Kumpulan F, namun tersingkir berikutan kekalahan 1-2 di Piraeus selepas Konstantinos Fortounis menyempurnakan penalti di lewat permainan untuk membawa Olympiacos ke peringkat kalah mati.

Cristian Zapata -- yang tertampan bola ke gawang sendiri meletakkan Milan ketinggalan 0-2 selepas gol pembukaan Pape Abou Cisse -- menjadikan kedudukan 1-2 dengan Milan terus berjuang memburu gol penyamaan untuk mara berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua pasukan.

Namun, terjahan gopoh Ignazio Abate ke atas Vasilis Torosidis menyerahkan peluang buat Fortounis untuk mengesahkan kemenangan itu.

Biarpun Gattuso mengakui penalti itu tidak sepatutnya diberikan, dia tidak mahu mencipta alasan, sebaliknya menyalahkan ketumpulan Milan di depan gawang.

"Kami menghadiahkan kemenangan kepada pihak lawan," kata Gattuso kepada Sky Sport Italia.

"Saya marah kerana kami sepatutnya menjadi lebih ampuh dalam setiap situasi untuk layak.

"Nasib terletak di tangan kami tetapi apabila anda terlepas lapan peluang untuk menjaringkan gol di stadium seperti ini dan menjadi kucar kacir dalam detik yang sukar, maka kami layak tersingkir.

"Terbukti kami masih tidak cukup bagus untuk memanfaatkan peluang.

"Memang benar, terdapat beberapa keputusan pengadil yang boleh dibahaskan. Namun, jika anda mencipta lapan peluang dalam situasi ini dan kemudian mula membuat kesilapan bodoh, kami memang layak untuk tersingkir kerana kami memang tidak layak untuk pergi lebih jauh," katanya.

Milan hampir ketinggalan dalam 10 saat pertama permainan seandainya Miguel Angel Guerrero berhasil melakukan sentuhan pertama yang berkesan, malah Milan melepaskan deretan peluang ketika permainan menuju waktu rehat.

Tandukan Cisse untuk Olympiacos memecah kebuntuan perlawanan sambil Patrick Cutrone dan Gonzalo Higuain mensia-siakan peluang terbaik sebelum jaringan sendiri Zapata meletakkan tuan rumah dalam kedudukan lebih selesa.

Gattuso menjelaskan pengalaman cetek antara yang menjurus kepada kegagalan Milan.

"Kami tidak boleh membenarkan lawan mendapat rentak permainan dan saya berasakan ketika ini, kekurangan pengalaman adalah masalah utama bagi kami," katanya.

"Kami perlu turun dengan tekad, dengan bersemangat.

"Kami menyerahkan kemenangan. Tiada alasan lain lagi dan kami perlu bertanggungjawab.

"Ini situasi yang sukar tetapi itu tidak boleh dijadikan alasan.

"Kami sering kelihatan seperti kami melakukan sesuatu tanpa keyakinan, seolah-olah kami tidak mahu menyakiti pihak lawan," tambahnya.