Gennaro Gattuso memberi amaran kepada pengurus Juventus, Andrea Pirlo, bahawa kerjaya sohornya sebagai pemain tidak boleh diambil kira dalam peranan barunya itu.

Pirlo, yang tidak pernah menyandang jawatan sebagai pengurus dan hanya mula mengambil alih tugas mengemudi skuad B-23 Juventus, sembilan hari lalu, diberi peluang memikul tanggungjawab itu di Turin, semalam, susulan pemecatan Maurizio Sarri.

Bekas pemain tengah Itali itu -- yang memenangi empat gelaran Serie A, satu Coppa Italia dan dua Supercoppa Italiana, sepanjang empat tahun bersama Bianconeri -- telah menandatangani perjanjian selama dua tahun.

Namun, Gattuso, yang bermain di samping Pirlo di Milan dan pasukan kebangsaan, memberikan penilaian jujur ​​mengenai kesukaran memikul jawatan itu kepada bekas rakan sepasukannya tersebut.

"Baiklah, sekarang habislah dia. Itu tugasnya," katanya kepada Sky Italia selepas kekalahan Napoli kepada Barcelona dalam Liga Juara-Juara (UCL) awal pagi tadi.

"Dia bernasib baik kerana bermula di Juventus, tetapi pengalaman sebagai pemain sahaja tidak cukup untuk kerjaya ini.

"Anda harus belajar, bekerja keras dan anda tidak banyak berkesempatan untuk melelapkan mata."



Tugas pertama pengurus bersuara lantang itu dalam membina kerjayanya adalah bersama FC Sion sebelum pengurus berusia 42 tahun berkenaan mengemudi Palermo, OFI Crete dan Pisa sebelum mengambil alih pasukan muda Milan pada 2017.

Dia dinaikkan pangkat sebagai pengurus pasukan pertama susulan pemecatan Vincenzo Montella pada akhir tahun itu sebelum dia sendiri dipecat pada akhir kempen 2018-19 selepas meraih tempat kelima, kemudian menggantikan Carlo Ancelotti di Napoli dalam merintis gelaran Coppa Italia musim ini.

"Bertindak sebagai pemain dan menjadi pengurus sama sekali tidak sama," tambahnya.

"Ini karier yang sama sekali berbeza dan kita tidak boleh hanya mempelajarinya melalui buku semata-mata, kita perlu bertugas dan bekerja keras. Ia dunia yang berbeza."