Gattuso: Higuain perlu bertenang

Oleh Penulis Jemputan 12 November 2018 216
Gattuso: Higuain perlu bertenang
Jurulatih AC Milan, Gennaro Gattuso, percaya Gonzalo Higuain berada di bawah tekanan tinggi untuk membuktikan kebolehannya bersama kelab itu.

Penyerang berusia 30 tahun itu gagal menjaringkan gol menerusi sepakan penalti sebelum dibuang padang ketika Milan tewas 2-0 kepada Juventus di San Siro, semalam.

Higuain telah menjaringkan tujuh gol dalam 13 perlawanan sejak beraksi untuk Milan secara pinjaman daripada Juve tetapi skuad bimbingan Gattuso itu bergelut untuk memberikan impak dalam Serie A.

Gattuso meminta Higuain untuk kekal tenang apabila menyedari pemain itu beraksi di bawah tekanan yang tinggi.

"Buat ketika ini, dia berasakan terlalu banyak tekanan," kata Gattuso.

"Tanggungjawab berat harus dipikul oleh Higuain untuk Milan yang sedang berusaha untuk kembali ke tahap terbaik. Dia perlu bertenang dan cuba beraksi seperti biasa.

"Dia perlu mengetepikan perasaan gementarnya. Dia adalah seorang pemain yang penting dan mampu melakukan sesuatu untuk pasukan."

Jaringan daripada Mario Mandzukic dan Cristiano Ronaldo membantu Juve menang dan kekal tanpa kalah dalam 12 perlawanan Serie A.

 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen