Gennaro Gattuso berasakan Napoli telah menerima hadiah daripada "dewa bola sepak" selepas menewaskan Juventus untuk memenangi Copa Italia awal pagi tadi.

Napoli muncul pasukan yang lebih baik dalam penentuan penalti di Stadio Olimpico itu -- selepas kedua-dua pasukan terikat 0-0 -- dengan Paulo Dybala dan Danilo gagal menyempurnakan sepakan masing-masing dalam penentuan yang berakhir 4-2 itu.

Skuad Partenopei itu layak memperoleh kejayaan berkenaan selepas mencipta banyak peluang, terutama daripada bahagian sayap, yang digagalkan penjaga gol berpengalaman lawan, Gianluigi Buffon.

Ia memberikan kejuaraan pertama buat Gattuso sejak bergelar jurulatih dan dia berkata kepada Rai Sport: "Sesiapa sahaja yang menggalas tugas ini perlu menghormatinya.

"Kami bertuah. Kerana inilah saya berang; perlu ada minat, hormat dan serius.

"Kemudian ada dewa bola sepak yang akan memberikan anda ganjaran apabila anda bekerja keras," katanya.

Tidak berapa lama selepas kejayaan Napoli itu, ingatan Gattuso beralih kepada kakaknya, Francesca, yang meninggal dunia kerana kanser awal bulan ini.

"Dunia bola sepak telah memberikan lebih banyak daripada apa yang saya layak.

"Tetapi anda sentiasa memikirkan mengenai kleluarga anda terlebih dahulu.

"Dalam hidup, setelah apa yang berlaku itu berlaku kepada anda, anda tidak dapat menerimanya," katanya.

Jurulatih itu kini tidak sabar untuk menyaksikan Napoli memulakan kembali aksi Serie A hujung minggu ini, di mana mereka menduduki tangga keenam dengan sembilan mata di belakang pasukan di tangga keempat, Atalanta.

"Kami mempunyai tugas untuk beraksi dalam 12 perlawanan terakhir ini dengan rasa hormat.

"Kami tidak boleh berfikir untuk menyerah kalah," katanya lagi.