Gennaro Gattuso mendedahkan ketidakupayaan bakat yang baru dipancing untuk mencipta keserasian dalam pasukan menghalang perkembangan AC Milan, kebelakangan ini.

Milan berbelanja besar pada musim panas lalu selepas gagal menamatkan saingan dalam kelompok lima terbaik dalam empat musim terakhir.

Leonardo Bonucci, Andre Silva, Andrea Conti dan Hakan Calhanoglu tiba dengan yuran tinggi, namun masih belum mampu mengubah nasib Milan.

Selepas mencipta dua kemenangan dalam sembilan perlawanan, Vincenzo Montella dipecat lalu digantikan oleh jurulatih skuad remaja, Gattuso, tetapi dia juga berjuang untuk memberi inspirasi kepada pemain.

Menjelang pertembungan Serie A dengan Atalanta hujung minggu ini, Rossoneri menduduki tangga kelapan, ketinggalan 14 mata dalam perebutan tiket Liga Juara-Juara (UCL).

Gattuso percaya kekurangan dalam perpaduan adalah isu utama Milan dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

"Masalah pasukan ini bukanlah berkenaan cara ia berfungsi," katanya dalam sidang akhbar. "Beberapa pemain memiliki pengalaman luas. Dengan hanya sedikit kata-kata, dia dapat mengatasi masalah posisinya.

"Tetapi, tanda kelemahan utama pasukan ini adalah mudah hilang punca dalam perlawanan. Anda dapat melihatnya menerusi rakaman, mereka hanya kehilangan rentak.

"Setiap kali kami membiarkan lawan mengatur serangan, kami mudah mengalah pada bila-bila masa. Sebaik sahaja kami turun beraksi, semua kelemahan kami muncul.

"Kami perlu melatih mentaliti kami kerana kecergasan fizikal sahaja tidak mencukupi.

"Saya berasakan pasukan saya tidak memahami situasi bahaya dalam sesetengah keadaan. Ia adalah sesuatu yang kami perlu perbaiki, jika tidak, kami akan menanggung satu lagi risiko.

"Sehingga ke hari ini, kami masih belum bermain sebagai sebuah pasukan. Kami kurang perpaduan," katanya.

Bonucci dikritik hebat susulan kegagalannya mencetuskan impak sejak perpindahan dari Juventus dan wujud laporan yang mengatakan dia akan angkat kaki bulan depan.

Milan dengan tegas menafikan laporan itu sambil Gattuso menyanjung tinggi pemain berusia 30 tahun itu.

"Bonucci adalah pemimpin dan pemain yang sangat penting bagi kami," katanya. "Dia sentiasa individu pertama yang bertanggungjawab."

Gattuso juga sempat menafikan dia mempertimbangkan peletakan jawatan andai terus gagal menemui jawapan membawa kejayaan kepada Milan.