Gaizka Garitano ditawarkan kontrak baru di Athletic Bilbao selepas kejayaannya membawa kelab Basque itu ke perlawanan akhir Copa del Rey.

Garitano -- sebelum ini bertindak sebagai jurulatih pasukan simpanan Athletic -- dilantik hingga akhir kempen 2018-19 selepas Eduardo Berizzo dipecat berikutan mereka di ambang penyingkiran liga selepas 14 perlawanan.

Bekas pemain tengah Real Sociedad itu cemerlang membimbing Athletic termasuk kejayaan melayakkan diri ke kejohanan Eropah sekali gus diberi peluang untuk meneruskan tugasannya bagi 2019-20.

Dia kemudian terus mempamerkan sentuhan mengagumkan yang menyaksikannya memperoleh kontrak lanjutan selama 12 bulan lagi.

Athletic mengharungi tiga bulan tanpa kemenangan pada awal musim ini tetapi melonjak ke tangga ke-10 LaLiga sebelum musim ini tertangguh akibat COVID-19.

Paling menarik, anak buahnya telah mencapai keputusan hebat dalam saingan Copa untuk berdepan seteru setempat, Real Sociedad.



"Saya sangat gembira atas keyakinan yang ditunjukkan kepada saya oleh kelab ini," katanya.

"Ini adalah sebuah pasukan yang saya ikuti perkembangannya sejak kecil, dari hati saya. Dapat meneruskan peranan ini merupakan satu kegembiraan dan tanggungjawab.

"Pengalaman yang dilalui dalam Copa tahun ini sangat mengagumkan dan kami berpeluang untuk memenangi gelaran. Kami harus berpegang kepada perkara positif dan berusaha meningkatkan prestasi."