Garcia wira Liverpool Reds di Likas

Oleh Willie Jude 20 November 2019 3441
Garcia wira Liverpool Reds di Likas
Luis Garcia muncul wira Liverpool Reds apabila meledak hatrik bagi memastikan kemenangan 3-2 ke atas Manchester Reds dalam aksi persahabatan 'Battle Of The Reds' di Stadium Likas, Kota Kinabalu, sebentar tadi. 

Aksi separuh masa pertama menyaksikan Manchester Reds lebih banyak menguasai permainan dan hampir mendahului seawal minit ketiga menerusi Danny Webber, namun percubaannya diselamatkan David James. 

Bagaimanapun, Webber menebus kekecewaannya pada minit kelapan apabila menyempurnakan hantaran Dwight Yorke untuk meletakkan Manchester Reds di hadapan dengan kedudukan 1-0.

Skuad Liverpool Reds juga beberapa kali mencemaskan pintu gol lawan dan hampir menyamakan kedudukan menerusi rembatan Vladimer Smicer pada minit ke-15, namun penjaga gol Manchester Reds, Paul Rachubka, menepis bola keluar. 

Pasukan yang diketuai Luis Garcia itu kemudian sekali lagi menguji kubu Manchester Reds menerusi tandukan Micheal Thomas pada minit ke-29, bagaimanapun ia terus ke dakapan Rachubka dan kedudukan 1-0 itu kekal sehingga habis separuh masa pertama. 

Liverpool Reds lebih garang memburu gol dalam separuh kedua dan memperolehnya pada minit ke-51 hasil rembatan deras Garcia untuk mengikat kedudukan 1-1.

Pada minit ke-61, Garcia sekali lagi meledak gol apabila mudah menewaskan Rachubka selepas melepasi perangkap ofsaid bagi menjadikan kedudukan 2-1.

Garcia kemudian hampir mencipta hatrik pada minit ke-61, namun percubaannya dari jarak kira-kira 40 meter sempat diselamatkan penjaga gol lawan. 

Bekas bintang Liverpool itu sekali lagi memukau penonton apabila akhirnya mencatat hatrik menerusi gerakan menarik pada minit ke-71. 

Manchester Reds kemudian cuba bangkit dengan merapatkan jurang menerusi Yorke pada masa kecederaan, namun ia sudah terlambat dengan kedudukan 3-2 itu kekal sehingga pengadil meniupkan wisel penamat. 

Aksi persahabatan yang julung kali diadakan di Malaysia itu turut disaksikan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. 
 

Tentang Penulis

Willie Jude

Komen