Gandingan Mbappe, Cavani baham Angers

Oleh Penulis Jemputan 5 November 2017 690
Gandingan Mbappe, Cavani baham Angers
ANGERS 0 PSG 5

Kombinasi serangan di antara Edinson Cavani dan Kylian Mbappe terus melalui aksi cemerlang apabila masing-masing menyumbat dua gol dalam kemenangan 5-0 Paris Saint-Germain (PSG) ke atas Angers di Stadium Raymond Kopa, awal pagi tadi.


Walaupun seorang lagi pemain utama, Neymar, tidak dapat beraksi akibat kecederaan, ternyata Mbappe mampu menggalas kekosongan tersebut apabila memerlukan lima minit untuk meletakkan PSG di depan selepas menyempurnakan hantaran Dani Alves.

Sembilan minit kemudian, Alves sekali lagi membuka ruang buat skuad bimbingan Unai Emery itu untuk menambah jaringan, selepas Julian Draxler bijak melambungkan bola hantaran pemain Brazil itu melepasi Mathieu Michel untuk gol kedua, sebelum Cavani merembat masuk bola hantaran Mbappe pada minit ke-30 untuk menjadikan kedudukan 3-0.

Cavani berjaya mencatat gol ke-13 peribadi pada musim ini, sekaligus berkongsi senarai penjaring terbanyak Ligue 1 bersama Radamel Falcao dari Monaco pada minit ke-60, selepas menyempurnakan hantaran dari tengah padang oleh Draxler.

Dia menggelecekkan dua pertahanan sebelum meledakkan rembatan kaki kanan untuk menewaskan Michel dan menjadikan kedudukan 4-0.

Ketika perlawanan berbaki enam minit untuk ditamatkan, Mbappe menjaringkan gol kelima buat pelawat selepas menerima lorongan pemain gantian, Lucas Moura, dan melepasi halangan Michel untuk membolehkan PSG memenangi aksi di Raymond Kopa dengan keputusan 5-0.

Kemenangan itu mengekalkan jarak empat mata di antara PSG yang berada di tangga teratas liga dan pesaing terdekat, Monaco, selepas skuad kendalian Leonardo Jardim itu membelasah Guingamp 6-0 di Stade Louis II.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen