REAL MADRID 2 REAL MALLORCA 0

Vinicius Junior memuji Eden Hazard sambil mengatakan bahawa adalah mudah untuk beraksi di samping penyerang itu dalam kemenangan Real Madrid 2-0 di Real Mallorca.


Sepakan percuma berbisa Vinicius disusuli jaringan Sergio Ramos dalam babak kedua awal pagi tadi menyaksikan Madrid kembali memintas Barcelona untuk menguasai tangga teratas LaLiga.

Vinicius gembira dengan persembahannya selain turut mengulas mengenai kombinasinya dengan Hazard selepas bergandingan buat pertama kali di Madrid.

"Saya sangat gembira dengan perlawanan hari ini. Kami telah bekerja keras di rumah untuk mendapatkan versi terbaik," kata penyerang itu menerusi laman sesawang kelab berkenaan.

"Keadaan saya sama seperti sebelum rehat (berikutan ancaman wabak COVID-19) tetapi memang betul, saya bekerja keras di rumah untuk tampil sihat secara fizikal.

"Ini seperti kempen Piala Dunia yang hanya mempunyai beberapa perlawanan dan kami harus fokus sejak awal lagi. Saya sering berusaha untuk memperbaiki diri dalam semua aspek. Kakitangan kejurulatihan banyak membantu saya untuk terus meningkat dan saya mahu terus berkembang di Real Madrid.

"Mudah untuk bergandingan dengan Hazard kerana dia merupakan pemain yang hebat dan hari ini adalah kali pertama (Zinedine) Zidane mengandingkan kami. Ia berjalan lancar."




Kelab gergasi dari ibu kota itu meneruskan rentak kemenangan mereka kepada empat sejak saingan musim ini bersambung untuk mereka terus meniti landasan yang tepat dalam usaha memenangi gelaran LaLiga.

Vinicius berkata adalah bahawa penting keseluruhan skuad itu bersiap sedia apabila diperlukan pengurus.

"Kami semua sudah bersedia untuk memasuki padang apabila Zidane memutuskannya dan kami akan melakukan yang terbaik. Kami mempunyai pemain terbaik di atas padang," katanya.

"Kami akan melakukan yang terbaik untuk memenangi tujuh 'aksi final' yang selebihnya. Kami telah memenangi empat dan kami memburu gelaran liga."

Madrid bakal meneruskan kempen mereka dengan bertandang ke Espanyol, awal pagi Isnin ini.

Sementara itu, Luka Romero melakar sejarah tersendiri apabila muncul sebagai pemain termuda LaLiga.

Pemain muda Mallorca itu berusia 15 tahun dan 219 hari ketika muncul dari bangku simpanan apabila dimasukkan bagi menggantikan pemain tengah, Iddrisu Baba, pada minit ke-83.

Dia memecahkan rekod yang sebelumnya dipegang oleh Francisco Bao Rodriguez atau dikenali sebagai Sanson, yang membuat debut liga bersama Celta Vigo ketika berusia 15 tahun dan 255 hari pada 1939.