Galatasaray memecat ketua jurulatih, Igor Tudor, selepas pasukan itu tewas tiga daripada empat perlawanan terakhir mereka.

Bekas pemain pertahanan Juventus dan Croatia itu dilantik sebagai pengganti kepada Jan Olde Riekerink pada Februari lalu, namun hanya dapat memimpin Gala meraih tempat keempat musim lalu.

Kekalahan 2-1 kepada Yeni Malatyaspor, Ahad lalu, dijangka menjadi perlawanan terakhir buat jurulatih berusia 39 tahun itu selepas mereka tewas kepada pasukan divisyen dua, Sivas Belediyespor, tetapi berjaya mengelak daripada dimalukan menerusi kemaraan secara agregat dalam saingan piala domestik.

Juara Super Lig 20 kali itu kini menduduki tangga kedua, satu mata di belakang pendahulu, Istanbul Basaksehir, tetapi Tudor terpaksa membayar harga yang mahal terhadap empat kekalahan dalam tujuh perlawanan terakhir mereka selain gagal melepasi peringkat kelayakan Liga Europa.

Tudor dikritik oleh ikon Belanda, Wesley Sneijder, selepas dia meninggalkan Istanbul pada Julai lalu.

"Jurulatih membuat pilihannya," kata Sneijder. "Dia membuat pilihan untuk tidak bekerja dengan saya.

"Jika sesetengah jurulatih tidak mahu bekerja dengan anda, maka anda perlu mencari sesuatu yang lain. Jika jurulatih tidak mahu menggunakan anda lagi, maka anda tidak akan mempunyai nombor jersi," katanya.