Galatasaray mengumumkan pelantikan Fatih Terim sebagai jurulatih buat kali keempat untuk memikul amanah bersama kelab Turki itu.

Terim tidak memegang sebarang jawatan sejak Julai lalu selepas dia meninggalkan peranannya selaku jurulatih Turki kerana terlibat dalam pertengkaran dengan pemilik sebuah restoran.

Gala memecat Igor Tudor pada Isnin lalu selepas mereka kalah tiga daripada empat perlawanan terakhir.

Terim, yang tidak pernah melatih sebarang kelab sejak 2013, memutuskan untuk meninggalkan Galatasaray untuk bergabung semula dengan pasukan kebangsaan selepas meraih gelaran Super Lig keenam, kesemuanya dirangkul bersama gergasi Istanbul itu.

Pengurus berusia 64 tahun itu juga mewakili kelab terbabit sebagai pemain -- mempunyai hubungan rapat dengan Galatasaray dan pertama kali mengambil alih jawatan pengurus pada 1996 selepas memimpin Turki dalam Kejohanan Eropah pada tahun yang sama.

Terim kemudian memenangi empat gelaran Super Lig berturut-turut untuk mencatat namanya sebagai sebahagian daripada wira Gala. Dia juga membantu mereka memenangi Piala UEFA 2000, namun kariernya di Itali bersama Fiorentina dan AC Milan tidak bertahan lama.

Terim juga bertanggungjawab membawa Turki ke separuh akhir Kejohanan Eropah 2008 dalam pelantikan keduanya.

Galatasaray kini menduduki tempat ketiga Super Lig selepas 16 perlawanan, satu mata di belakang pendahulu, Istanbul Basaksehir, tetapi mendahului juara bertahan, Besiktas.