Pertahanan Kuala Lumpur, S. Subramaniam, menolak cadangan mewujudkan gaji siling bagi pemain Liga Malaysia (Liga-M), sebaliknya menyokong Program Kawalan Ekonomi (ECP) yang diperkenalkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Baginya, semua pasukan yang bertanding perlu telus dalam melaksanakan ECP agar isu tunggakan gaji tidak menjadi virus dalam kancah bola sepak tempatan.

Dalam satu temubual bersama Nadi Arena hari ini, Subramaniam berkata: "Kalau diikutkan, saya rasa gaji siling bagi Liga-M merupakan sesuatu yang tidak relevan kerana kebanyakan negara tidak menggunakan sistem itu.

"Ada pemain mempunyai nilai yang sangat tinggi daripada segi prestasi, jadi ia tidak relevan.

"Tahun ini kita dapat lihat ada pasukan yang mengalami masalah kewangan dan tunggakan gaji.

"Ia kerana kebanyakan pasukan masih bergantung kepada dana daripada kerajaan negeri.

"Akan datang, jika setiap pasukan sudah menyediakan perancangan kewangan dan sudah boleh menghasilkan keuntungan sendiri, tidak akan ada lagi masalah kewangan.

"Ketika melakukan pengisytiharan dan audit, setiap kelab perlu telus.

"Jika mereka telus, ia akan memberikan keyakinan buat pemain baru yang akan bermain untuk mereka.

"Ia akan memberikan pemain keyakinan untuk menyertai pasukan baru.

"ECP jelas amat bagus kerana kita boleh merancang apa yang mahu dilakukan.

"Contohnya, kita sudah tau bagaimana bajet kita untuk tahun depan, jadi kita hanya boleh berbelanja mengikut bajet pasukan dan boleh tahu keadaan kewangan pasukan," katanya.