Juara dunia lima kali, Brazil, kini giat menjalani latihan fasa akhir di Stadium Arena Das Dunas tatkala jurulatih, Tite, menyambut baik kehadiran penyerang baru meningkat naik, Gabriel Jesus, untuk persediaan menentang Bolivia dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2018, Jumaat ini.

Jesus, yang dibeli Manchester City pada awal musim dan dipinjamkan ke kelab lamanya, Palmeiras, sehingga akhir tahun ini, mempamer aksi terpuji dalam liga Brazil.

Penyerang berusia 19 tahun berkenaan dijangka menjadi taruhan Tite di samping bintang sensasi, Neymar, di bahagian serangan.

Sementara itu, Brazil hampir pasti diperkuat dengan pertahanan Atletico Madrid, Filipe Luis, dan pemain tengah The Citizens, Fernandinho, dalam misi mengekalkan rekod 100 peratus di bawah kendalian Tite.

Sejak mengambil alih skuad kebangsaan Brazil, jurulatih berusia 55 tahun itu mengecap kemenangan dalam dua perlawanan pertamanya, menentang Ecuador dan Colombia.

Dalam saingan kelayakan zon Amerika Selatan, Brazil kini berada di tangga kedua dengan 15 mata, terikat dengan Argentina, dan satu mata dipisahkan dengan pendahulu, Uruguay.

Anda di rumah boleh menyaksikan siaran langsung perlawanan di antara Brazil dan Bolivia menerusi saluran Astro Supersport 3 pada Jumaat ini, jam 8.40 pagi.

Empat perlawanan lain turut berlangsung pada hari tersebut dan tumpuan pastinya juga terarah kepada aksi Peru menentang Argentina.

Perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018 zon Amerika Selatan:

Ecuador lwn Chile
Uruguay lwn Venezuela
Paraguay lwn Colombia
Brazil lwn Bolivia
Peru lwn Argentina