Gabriel Barbosa masih belum mahu membincangkan masa depannya selepas Flamengo tewas kepada Liverpool dalam final Piala Dunia Kelab di Doha, Qatar awal pagi tadi.

Gabriel beraksi selama 120 minit ketika Flamengo tewas 0-1 dalam masa tambahan kepada juara Eropah itu.

Penyerang itu dipinjam daripada Inter Milan tetapi perjanjian itu akan tamat pada penghujung tahun ini dan pemain berusia 23 tahun berkenaan kini dikaitkan untuk menyertai West Ham bulan depan.

Bercakap selepas kekalahan itu, Gabriel berkata dia akan menjelaskan mengenai masa depannya kemudian.

"Kami beraksi sebagai lawan setara buat Liverpool.

"Kami memperoleh beberapa peluang untuk menjaringkan gol.

"Kami amat terkesan tetapi kini, saya sedang bercuti.

"Saya akan menikmatinya dan akan bercakap mengenai masa depan saya kemudian," katanya.

Jaringan Roberto Firmino pada minit ke-99 menjadi pemisah di antara Liverpool dan Flamengo di Stadium Antarabangsa Khalifa itu.

Gabriel memuji pasukannya biarpun tewas kerana mereka telah mendapatkan peluang yang sepatutnya.

"Saya fikir kami telah beraksi baik, kami mempunyai peluang untuk menjaringkan gol tetapi tidak dapat melakukannya.

"Tetapi kami memberikan tentangan kepada pasukan yang hebat.

"Jelas, kami tidak dapat menjaringkan gol tetapi kami mencipta peluang hingga ke minit terakhir dan mereka pula menjaringkan gol.

"Ia perlawanan yang hebat," tambah Gabriel, yang menjaringkan 43 gol daripada 59 penampilan buat Flamengo dalam kesemua kejohanan sejak menyertainya secara pinjaman pada Januari lalu.