Freund: Jerman tiada peluang juarai Euro 2020

Oleh Penulis Jemputan 22 Oktober 2019 459
Freund: Jerman tiada peluang juarai Euro 2020
Bekas pemain tengah Jerman, Steffen Freund, percaya skuad kendalian Joachim Low itu tidak berkeupayaan untuk menjuarai Euro 2020.

Jerman tidak pernah menjuarai kejohanan itu sejak 1996 -- selepas mereka menewaskan Republik Czech dalam final di Stadium Wembley.

Final edisi tahun depan akan turut berlangsung di Stadium Wembley dan Jerman mempunyai rekod cemerlang berdasarkan tiga edisi terdahulu -- muncul finalis pada 2008 dan meraih tempat ketiga pada 2012 dan 2016.

Namun, dalam Piala Dunia di Russia tahun lalu, pasukan itu gagal melepasi peringkat kumpulan dan Freund berasakan mereka sedang menghadapi masalah besar.

"Kami tiada peluang untuk memenangi Euro (2020)," katanya kepada Omnisport.

"Anda sentiasa mempunyai pemain yang cedera dan kami memerlukan setiap pemain sihat.

"Sebelum ini, dalam Piala Dunia 2002 misalnya, permulaan yang mudah (dan) anda dapat meneruskan kemaraan.

"Ia mungkin terjadi kerana kali ini, 24 pasukan akan bersaing (dalam Euro).

"Sudah pasti saya berharap Jerman akan memenangi Euro, namun saya tidak dapat membayangkannya buat masa ini," katanya.

Freund berkata prestasi semasa Jerman menunjukkan betapa mereka bukanlah pencabar utama untuk merebut trofi Euro 2020 dengan mengambil kemenangan 3-0 ke atas Estonia di Tallin awal bulan ini sebagai contoh terbaik.

Dalam perlawanan itu, Jerman perlu menunggu hingga minit ke-51 untuk membuka jaringan.

"Melihat kepada pasukan ini, mereka mempunyai ramai pemain yang bagus.

"Terlalu ramai pemain yang cedera dalam dua perlawanan terakhir -- ia tidak bagus dan anda dapat menyaksikannya dalam babak pertama ketika menentang Estonia, bertapa kami terlalu jauh daripada pasukan terbaik di Eropah, terutama ketika kami kehilangan pemain utama.

"Saya bukannya bercakap mengenai pasukan terbaik di dunia," tambahnya.

Jerman menduduki tangga kedua Kumpulan C dalam pusingan kelayakan Euro 2020 dengan memenangi lima daripada enam perlawanan.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen