Forlan reda dipecat Penarol 

Oleh Shaiful Shamsudin 1 September 2020 903
Forlan reda dipecat Penarol 
Diego Forlan berterima kasih kepada Penarol walaupun dilaporkan dipecat sebagai pengurus selepas hanya mengemudi 11 perlawanan.

Bekas pemain remaja Penarol itu dilantik sebagai pengurus pada Disember tahun lalu, iaitu tugasan pertamanya selepas beralih karier. 

Bagaimanapun, dalam tugasan pertamanya dalam bidang pengurusan itu, Forlan hanya mampu bertahan sebanyak 11 perlawanan sahaja yang menyaksikannya menang empat kali dan selebihnya tewas. 

Di celah-celah laporan bahawa dia dipecat, bekas pemain antarabangsa Uruguay itu -- yang pernah beraksi untuk pasukan seperti Manchester United, Inter dan Atletico Madrid -- meluahkan ucapan  terima kasih terhadap Penarol.

"Saya harus meninggalkan Penarol tetapi pertama kali, saya ingin mengucapkan terima kasih," tulisnya di Twitter.

"Terima kasih atas peluang yang anda berikan, ini adalah satu kebanggaan buat saya untuk memimpin Club Atletico Penarol. Kepada barisan pemain, terima kasih banyak atas kesabaran, penghormatan, dedikasi dan pengajaran anda.

 

"Kepada semua yang bekerja dari hari ke hari dan dalam diam di Los Aromos, dengan tulus ikhlas saya ingin ucapkan terima kasih. Akhir sekali, terima kasih kepada peminat atas rasa cinta mereka.

"Saya tidak mahu merungut, inilah bola sepak.

"Semoga berjaya pada masa akan datang , berjuanglah Penarol!"

Juara tiga daripada lima musim Divisyen Perdana Uruguay yang lalu itu kini menghuni di tangga ketujuh setakat sembilan perlawanan musim ini.

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen