Phil Foden muncetuskan sensasi apabila membantu England berjuang bangkit daripada ketinggalan 2-0 untuk menang 5-2 ke atas Sepanyol, sekali gus menjuarai Piala Dunia B-17 di India, awal pagi tadi.

Foden menjadi sasaran dalam kekalahan England kepada Sepanyol menerusi penalti dalam final Kejohanan Eropah B-17 Eropah awal tahun ini.

Tetapi pemain tengah Manchester City itu membalas dendamnya apabila menjaringkan gol ketiga penting dan menambah jaringan kelima ketika England menunjukkan kebangkitan menakjubkan selepas Sepanyol berada di depan dengan dua gol.

Sergio Gomez menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-10 dan penyerang Barcelona itu terus beraksi cemerlang dengan jaringan kedua untuk membawa Sepanyol pada kedudukan selesa.

Skuad England mula membuka koleksi golnya menerusi Rhian Brewster -- yang melakukan hatrik dalam kemenangan suku akhir dan separuh akhir England -- hasil tandukan daripada hantaran lintang Steven Sessegnon tidak lama sebelum rehat.

Sessegnon, yang juga pemain pertahanan Fulham, membuat bantuan gol untuk Morgan Gibbs-White bagi memastikan kedudukan 2-2, sebelum percubaan Foden masuk pada minit ke-69 untuk meletakkan skuad Young Lions di depan.

Ketika perlawanan berbaki enam minit, Marc Guehi menemui sasaran daripada sepakan percuma, sebelum Foden melengkapkan kemenangan skuad Steve Cooper untuk mengikut jejak langkah pasukan negaranya yang menjuarai Piala Dunia B-20 pada awal tahun ini.

Terdahulu, Brazil menewaskan Mali 2-0 bagi penentuan tempat ketiga, dengan jaringan dilakukan oleh Alan de Souza Guimaraes dan Yuri Alberto.