Bekas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Ibrahim Saad, mempersoalkan sejauh mana keberkesanan Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) yang kononnya mampu memberikan wajah baru Liga Malaysia (Liga M).

Antara yang ditimbulkan adalah sejauh mana keberkesanan FMLLP dalam memastikan pendapatan lebih teguh jika dibandingkan dengan sumber kewangan FAM sebelum kehadiran FMLLP.

Persoalan tersebut diutarakan Ibrahim, yang mula melahirkan keraguan mengenai kemampuan FMLLP dalam mencapai objektif seperti dicanang pada awal musim lalu.

“Cara ini adalah untuk menggalakkan bola sepak, dapat menjana keuntungan serta pendedahan yang lebih. Itu yang dilihat sebagai penswastaan tetapi perkara itu dilihat tidak mencapai tujuan yang telah disasarkan,” kata Ibrahim.

Dalam pada itu, pemerhati bola sepak negara, Rizal Hashim, berpendapat misi untuk meraih pendapatan RM70 juta buat FAM dan bola sepak Malaysia sebagai tidak sempurna.

“FMLLP tidak dapat menyempurnakan misi untuk mengumpulkan RM70 juta seperti yang dijanjikan oleh MP & Silva, itu juga harus dikaji semula oleh FAM dan FMLLP mengapa perkara tersebut berlaku,” jelas Rizal.

FAM melantik MP & Silva sebagai rakan kerja di bawah FMLLP untuk menguruskan segala hal berkaitan Liga M.

Perjanjian di antara kedua-dua pihak berkenaan dilakukan pada Januari tahun lalu dan FAM dijanjikan RM1.26 bilion untuk tempoh 15 tahun.

MP & Silva adalah syarikat media antarabangsa yang memiliki, menguruskan dan membahagikan hak penyiaran televisyen bagi acara sukan di seluruh dunia.

Ini termasuk siaran liga bola sepak Eropah, kelayakan Piala Dunia, grand slam tenis dan sukan pemotoran.