Paris Saint-Germain telah menandatangani Alessandro Florenzi dari Roma secara pinjaman sepanjang musim dengan pilihan untuk membeli pemain tersebut.

Pemain yang memiliki 36 kap bersama skuad Itali hadir menerusi akademi Roma pada 2011 dan telah membuat 280 penampilan bersama kelab Serie A itu.

Dia diangkat sebagai kapten pada 2019 namun menghabiskan baki musim lalu dipinjamkan kepada Valencia, turun 14 kali dalam semua pertandingan.

Pengendali PSG, Thomas Tuchel, mengesahkan Rabu lalu dia mahu mendapatkan khidmat pertahanan kanan baru dan persetujuan telah dicapai bersama Roma.

Juara Perancis itu, turut dikaitkan dengan Hector Bellerin dari Arsenal, mengumumkan ketibaan Florenzi menerusi laman web rasmi semalam.
"Saya sangat berbangga dan gembira bergelar pemain Paris Saint-Germain," katanya.

"Mereka adalah antara pilihan utama di pentas Eropah hari ini.

"Saya akan cuba memberikan yang terbaik untuk PSG dan penyokong. Kami bakal berdepan cabaran yang luar biasa musim ini."

PSG, tanpa tujuh pemain utama ekoran positif coronavirus, tewas 1-0 kepada Lens dalam aksi pertama musim 2020-21.