Hansi Flick menegaskan bahawa dia tidak terfikir bahawa Thiago Alcantara berpotensi untuk meninggalkan Bayern Munich biarpun sedang dikaitkan dengan perpindahan ke Liverpool.

Thiago, 29, masih mempunyai kontrak bersama pasukan Bundesliga itu sehingga tahun depan dengan juara Liga Perdana Inggeris, Liverpool, dilaporkan antara yang berkemungkinan menjadi destinasi pilihan pemain itu seandainya mahu meninggalkan Bayern.

Tetapi Flick mahu mengekalkan khidmat Thiago dengan melabel pemain kebangsaan Sepanyol itu sebagai "pemain luar biasa".

"Saya tidak terfikir langsung bahawa Thiago akan meninggalkan kami," kata ketua jurulatih Bayern itu selepas pasukannya menewaskan Wolfsburg 4-0 malam tadi.

"Saya sentiasa katakan bahawa Thiago seorang pemain luar biasa yang mampu memberikan banyak sumbangan kepada pasukan ini.

"Saya langsung tidak terfikir mengenai perkara itu

"Dan saya berfikir selepas perlawanan dan musim sehebat ini, sebagai seorang wartawan, anda perlu menerima bahawa bukan semua soalan boleh dijawab," katanya.

Thiago tiba di Bayern pada 2013 dan memenangi Bundesliga dalam setiap tujuh musim bersama pasukan itu.

Bayern melengkapkan kejuaraan musim ini dengan mencecah 100 gol -- Kingsley Coman, Mickael Cuisance, Robert Lewandowski dan Thomas Muller muncul penjaring ketika menewaskan Wolfsburg.