Hansi Flick mahukan pasukan Bayern Munich kendaliannya mula mempamerkan "satu sikap berbeza sejak permulaan permainan" ketika dia menyasarkan untuk menyamai rekod yang dilakukan Pep Guardiola sebelum ini.

Awal pagi esok, Flick berpeluang untuk meraih 100 mata daripada 39 perlawanan Bundesliga pertamanya bersama skuad Bavarian itu dengan syarat perlu menewaskan Borussia Monchengladbach dalam perlawanan berkenaan.

Tetapi ketua jurulatih itu enggan bertoleransi dalam mengelakkan pasukannya mengulangi permulaan goyah babak pertama seperti ketika mereka ketinggalan 0-2 kepada Mainz sebelum bangkit untuk memenangi perlawanan itu 5-2 hujung minggu lalu.

Guardiola, yang menyertai Bayern menjelang musim 2013-14, memperoleh 100 mata pertamanya dalam jumlah perlawanan yang sama.

Ia selepas Guardiola membawa Bayern menjuarai liga itu dengan 90 mata sebelum memenangi tiga dan seri dua perlawanan dalam musim berikutnya.

Pengurus Manchester City itu mengumpulkan 101 mata hanya dalam 39 perlawanan pertama dan menjadi ketua jurulatih pertama Bayern mencapai mata tiga angka dengan sepantas itu.

Flick sedar jika dia mahu memastikan tiga mata untuk ditambahkan dengan 97 mata yang sudah dikumpulkannya ketika ini, juara Eropah itu perlu berusaha lebih keras.

"Kami dapat melihatnya dengan jelas dan mahu menuju ke perlawanan itu dengan sikap dan dinamik berbeza," kata Flick dalam sidang media sebelum perlawanan.

"Kami mahu lebih ampuh ketika pertembungan di udara. Kami tidak boleh hanya mengharapkan Manu (penjaga gol, Manuel Neuer) di belakang.

"Kami memerlukan sikap berbeza sejak dari mula. Kami perlu menunjukkan apa yang mampu kami lakukan. Pasukan ini perlu mempunyai mentaliti seperti itu. Gladbach mempunyai kualiti individu yang tinggi dan rentak yang hebat," katanya.