Ketua jurulatih Bayern Munich, Hansi Flick, memuji persembahan cemerlang pertahanan, Alphonso Davies, menjelang aksi separuh akhir DFB-Pokal, awal pagi esok.

Hadir selaku pemain sayap daripada Vancouver Whitecaps pada Januari tahun lalu, pemain Kanada itu berkembang menjadi salah seorang bek kiri terbaik musim ini dan meraih kontrak lanjutan sehingga 2025.

Pemain berusia 19 tahun itu membantu Bayern mengekalkan cabaran untuk meraih tiga kejuaraan musim ini dan Flick yakin dia masih mampu meningkatkan prestasi.

"Davies sangat memukau ketika ini," katanya.

"Sebagai tambahan untuk kepantasannya di atas padang, dia bertahan dengan baik.

"Kini, dia mencipta gol melalui serangan dan turut meledakkan jaringan. Dia berada di landasan terbaik. Dia masih muda, mampu dan mahu belajar.

"Walaupun muda, dia kini salah seorang pemain yang berada di prestasi terbaik."

Bayern akan menentang Eintracht Frankfurt, lawan yang menewaskan mereka dalam final 2018, pada awal pagi esok tetapi catatan 11 kemenangan berturut-turut dalam semua kejohanan meletakkan mereka selaku pilihan untuk mara.

Mereka juga menewaskan Frankfurt 5-2 dalam siangan Bundesliga pada bulan lalu tetapi Flick tidak mahu memandang rendah keupayaan lawan.

"Kami menghadapi perlawanan ini sama seperti yang lain," tambahnya.

"Kami melihat Frankfurt untuk kali ketiga musim ini.

"Kami harus fokus sepanjang 90 minit atau lebih lama dalam saingan piala. Pasukan tahu tentang kekuatan Frankfurt serta diri sendiri."