Hansi Flick berharap Bayern Munich mampu meraih penyelesaian positif dengan barisan bintang kelab itu yang bakal menuju tamat kontrak pada tahun depan.

Jumaat lalu, Flick menandatangani kontrak tiga tahun bersama Bayern selepas menggantikan Niko Kovac selaku pengurus sementara pada November lalu.

Bayern kini selesa dengan kelebihan empat mata di puncak Bundesliga tatkala saingan itu turut ditangguhkan susulan wabak coronavirus.

Semalam, Thomas Muller menandatangani kontrak baru di Bayern sehingga 2023 tetapi beberapa pemain lain bakal menamatkan khidmat di penghujung musim depan.

Manuel Neuer, David Alaba, Jerome Boateng, Javi Martinez dan Thiago Alcantara akan menuju tahun akhir dalam kontrak terkini pada musim 2020-21.

"Ia adalah keputusan yang memerlukan pemain lakukan untuk diri sendiri," katnaya.

"Beberapa minggu dan bulan lalu, saya telah menjelaskan kepentingan Neuer, Alaba dan Thiago untuk kami.

"Mereka mengharungi perkembangan positif dalam enam bulan terakhir dan beraksi dengan baik. Kelab juga sedar kini berada di landasan terbaik."

Bundesliga ditangguhkan sehingga sekurang-kurangnya 30 April ini dan jika ia disambung, saingan berkemungkinan diadakan secara tertutup.

"Liga Bolasepak Jerman (DFL) mengikut peraturan dan segalanya kini terkawal," tambahnya.

"Kami terbuka dengan sebarang perubahan jangka masa pendek mengikut politik dan semua perkembangan.

"Pada waktu ini, kami perlu elakkan perhubungan fizikal, jadi kami berurusan melalui latihan siber.

"Ia perubahan yang diterima pemain dan memerlukan masa untuk kembali. Penting untuk anda biasakan diri."