Bayern Munich berasakan seperti menjadi mangsa kepada permainan yang "amat efektif" Borussia Monchengladbach apabila tewas 2-3 awal pagi tadi, kata ketua jurulatih pasukan itu, Hansi Flick.

Jaringan penalti Robert Lewandowski -- jaringannya yang ke-20 dalam Bundesliga musim ini -- dan penyudah gemilang Leon Goretzka meletakkan Bayern di depan seawal minit ke-26 di Borussia Park.

Bagaimanapun, kesilapan hantaran Benjamin Pavard memberikan peluang buat Jonas Hofmann merapatkan jurang dan pemain tengah Gladbach itu berada di kedudukan onside disebabkan kesilapan Niklas Sule untuk menggandakan jaringannya sebelum waktu rehat.

Sule kemudian memberikan bola kepada Hofmann di dalam kawasannya sendiri dan Florian Neuhaus menebus kesilapannya memberikan sepakan penalti kepada lawan dalam babak pertama dengan menjaringkan gol kemenangan Gladbach.

Gladbach kini menjadi pasukan pertama menewaskan Bayern selepas ketinggalan 0-2 sejak Cologne melakukan perkara sama pada Februari 2011.

"Kami mengharapkan penamat berbeza bagi perlawanan ini tetapi pada akhirnya, kami dihukum. Kami kehilangan bola dengan cara yang tidak sepatutnya sebanyak tiga kali dan pihak lawan benar-benar amat efektif dalam menyudahkan peluang berkenaan," kata Flick dalam sidang media.

"Apabila anda bertanya kepada saya tentang bagaimana untuk mengelakkannya, di pihak anda perlu memastikan kesilapan seminimum mungkin, atau mengelak daripada mereka, dan di pihak satu lagi, anda perlu menjaga posisi ke dalam anda dengan dua kali ganda.

"Kami menerima padah dalam situasi yang sama ketika dua gol mereka. Hofmann masuk ke dalam dari bahagian tengah dan kami bergerak ke atas terlalu cepat dan membuka bahagian tengah tanpa menjaga posisi ke dalam, dan dengan gol kedua itu, kami perlu terus berusaha dan menjaga posisi itu.

"Ia tidak sepatutnya berlaku dan ia situasi yang tidak baik untuk dilalui tetapi kekalahan, walaupun ia adalah Bayern Munich, merupakan sebahagian daripada permainan ini.

"Dalam babak Kedua, pasukan ini mencuba untuk melakukan segala-galanya bagi mendapatkan keputusan positif tetapi malangnya ia tidak menjadi," katanya.

Bayern akan kembali beraksi dengan menentang kelab 2. Bundesliga, Holstein Kiel, dalam DFB Pokal, Rabu ini.