Hansi Flick menyifatkan penjaga gol Bayern Munich, Manuel Neuer, seorang 'profesional luar biasa' selepas menampilkan aksi cemerlang ketika meraih kemenangan 3-1 ke atas Salzburg dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL).

Robert Lewandowski, Kingsley Coman dan Leroy Sane meledak gol buat Bayern, sementara Marc Roca diarah keluar padang dalam separuh masa kedua dan Mergim Berisha mengurangkan defisit jaringan 17 minit sebelum tamat perlawanan.

Keputusan itu membantu Bayern merakamkan empat kemenangan daripada empat perlawanan Kumpulan A dan memastikan mereka melangkah ke pusingan 16 dengan berbaki dua perlawanan.

Ia kelihatan bakal menjadi suasana yang berbeza jika tidak dibantu aksi cemerlang Neuer, namun -- pemain kebangsaan Jerman itu telah menafikan 10 percubaan kelab Austria itu, termasuk dua tampanan berganda ketika mengelak daripada Berisha dan Enock Mwepu menyumbat jaringan.



Ia merupakan aksi terbaik dipamerkan Neuer, sementara ketua jurulatih, Flick, memuji dedikasi dipamerkan pemain berusia 34 tahun itu.

"Manu telah beraksi cemerlang sepanjang tahun ini," katanya. "Bersamanya, jaringan buat penyerang semakin berkurang.


"Dia berada di tahap terbaik dalam kariernya, semangat profesionalnya sangat luar biasa dan memberikan tumpuan penuh terhadap tugasnya."

Bayern tidak mencapai tahap yang sama ketika meraih kemenangan 6-2 ke atas Salzburg tiga minggu yang lalu, membenarkan lawan mereka melakukan 19 percubaan dengan persembahan bertahan yang kelihatan hambar.

Flick tidak mengagumi dengan cara pasukan gagal untuk mengawal bola dengan baik tetapi enggan memberikan tekanan terhadap pemain, yang berjaya memperbaikinya dalam separuh masa kedua.

"Kami menyukarkan diri sendiri kerana kerap hilang bola," katanya."Ia tidak seharusnya berlaku dengan terlalu banyak kerana ia boleh menghukum pasukan.

"Ia semakin baik dalam separuh masa kedua, saya berpuas hati dengan cara permainan yang efektif, dan kami memiliki penjaga gol bertaraf dunia."