Hansi Flick telah menandatangani kontrak tiga tahun selaku pengendali tetap Bayern Munich selepas disahkan juara Bundesliga itu semalam.

Flick menggantikan Niko Kovac pada November lalu selaku pengurus sementara sebelum dilantik sebagai ketua jurulatih tetap sehingga akhir musim ini.

Selepas Bayern dilihat goyah untuk mencabar kejuaraan liga di bawah bimbingan Kovac, Flick telah mengembalikan rentak kemenangan dan meletakkan pasukannya di puncak Bundesliga.

Sebelum saingan ditangguhkan akibat wabak coronavirus, Bayern empat mata mengatasi Borussia Dortmund dan menewaskan Chelsea dalam aksi pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah serta menempah tiket separuh akhir Piala Jerman.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bayern, Karl-Heinz Rummenigge, memberitahu laman web kelab itu: "FC Bayern gembira dengan hasil kerja Flick. Pasukan telah berkembang dengan baik di bawah bimbingannya, mempamerkan aksi bola sepak menghiburkan berserta keputusan yang baik.

"Kami satu-satunya kelab Jerman yang masih bersaing dalam tiga kejohanan. Saya juga suka dengan cara dia mengendalikan pasukan.

"Bayern mempercayai Flick dan kami yakin akan dapat mencapai sasaran bersamanya di masa akan datang."