Hansi Flick telah mengucapkan tahniah kepada Chelsea setelah mereka dilaporkan memenangi perlumbaan untuk menandatangani Timo Werner dan mengatakan Bayern Munich menghormati keputusan penyerang RB Leipzig itu.

Bayern sebelum ini dikhabarkan bakal mendapatkan khidmat penyerang skuad Jerman itu tetapi laporan mengatakan bahawa Chelsea telah mengaktifkan klausa pelepasan pemain itu yang bernilai GBP54 juta.

Werner berperanan dalam 32 jaringan dalam saingan Bundesliga buat Leipziq musim ini -- kedua selepas bintang Borussia Dortmund, Jadon Sancho -- dan Flick mengakui pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) telah menandatangani pemain yang berpotensi tinggi.

"Dia adalah pemain yang sangat baik, pemain yang mampu menjaringkan gol," kata Flick dalam sidang akhbar sebelum perlawanan menjelang pertembungan Bundesliga berdepan Bayer Leverkusen.
"Ini adalah keputusan Werner dan anda harus menghormatinya. Jika apa yang dilaporkan benar, maka Chelsea telah mendapatkan seorang pemain yang cemerlang."

Selain berkait dengan Werner, Bayern juga memberikan bayangan akan menandatangani di antara Leroy Sane atau Kai Havertz ketika jendela perpindahan dibuka.

Havertz minggu lalu menjadi pemain pertama dalam sejarah Bundesliga yang mencapai 35 gol sebelum usia 21 tahun dengan jaringan ke atas Freiburg, dan Flick mengakui bahawa dia ingin memiliki penyerang yang 'luar biasa' di Bayern.

"Saya berasa ramai jurulatih yang mahu memiliki Kai Havertz dalam pasukan mereka. Termasuklah saya," katanya menjelang perjalanan Bayern ke BayArena.