Jurulatih Bayern Munich, Hansi Flick, tidak ada yang mahu dikatakan mengenai masa depan Leroy Sane setelah pemain sayap itu disahkan mahu meninggalkan Manchester City.

Pep Guardiola semalam mendedahkan Sane tidak akan melanjutkan kontraknya bersama City dan bakal berpindah ke kelab baru tahun ini atau setelah perjanjiannya berakhir pada tahun 2021.

Bayern telah lama dianggap sebagai pilihan untuk menandatangani pemain antarabangsa Jerman itu, walaupun situasi terkini terjejas ekoran Koronavirus sekaligus menyukarkan perbelanjaan perpindahan yang bernilai tinggi tahun ini.

Bercakap selepas merekodkan kemenangan 3-1 Bundesliga ke atas Freiburg, Flick tidak berminat untuk membincangkan mana-mana pemain yang mungkin atau tidak berpindah ke Allianz Arena.

"Saya tidak mahu mengatakan apa-apa mengenai topik itu," katanya. "Saya di sini untuk membincangkan prestasi kami hari ini.

"Saya tidak mahu membicarakan masa depan atau pemain yang boleh datang atau meninggalkan kami. Kami masih mempunyai perkara yang ingin kami dicapai musim ini. Kami telah memenangi liga, dan langkah seterusnya adalah DFB-Pokal.

"Selepas itu, akan ada satu sasaran yang besar [Liga Juara-Juara (UCL)], yang mana kita harus bekerja keras dan berusaha sejauh mungkin."

Bayern bakal dinobat sebagai juara Bundesliga selepas perlawanan menentang Wolfsburg Sabtu depan sebelum mereka menentang Bayer Leverkusen dalam aksi final DFB-Pokal 4 Julai ini.

Mereka meneruskan saingan dalam UCL Ogos ini dengan berkelebihan agregat 3-0 ke atas Chelsea dalam aksi pusingan 16.