Ketua jurulatih Bayern Munich, Hansi Flick, berkata pasukannya perlu bertahan dengan lebih baik dalam final Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang Paris Saint-Germain (PSG).

Juara Bundesliga itu menempah tempat dalam final hujung minggu ini selepas menewaskan Lyon 3-0 di Estadio Jose Alvalade awal pagi tadi.

Lyon, yang mencipta kejutan dengan mengejutkan Juventus dan Manchester City sepanjang laluan mereka ke separuh akhir, memulakan perlawanan dengan garang apabila percubaan Karl Toko Ekambi menggegarkan tiang gol tetapi pasukan Perancis itu terpaksa menanggung akibat daripada kegagalan itu.

Jaringan berganda Serge Gnabry dalam babak pertama dan satu gol daripada Robert Lewandowski pada dua minit terakhir memastikan Bayern meneruskan perjuangan mereka dalam memburu gelaran 'treble' pertama sejak tujuh tahun lalu.

"Kami sedar ia akan menjadi sukar, mereka tiba selepas beraksi baik menentang City dan Juventus," kata Flick kepada Sky selepas Bayern memperoleh kemenangan dalam sepuluh perlawanan UCL berturut-turut, yang merupakan rekod kemenangan terpanjang dalam sejarah kejohanan itu.

"Mereka kuat secara taktikal dan memberikan kami banyak masalah pada awal permainan.

"Kami sedar kami perlu bertahan dengan lebih baik, kami sudah katakannya sejak dari awal bahawa kami tidak boleh terlalu mudah kehilangan bola tetapi kami melakukannya," katanya.

PSG kendalian Thomas Tuchel, yang berharap dapat menurunkan Neymar dan Kylian Mbappe, akan turun beraksi dalam final UCL pertama mereka selepas menewaskan RB Leipzig 3-0 kelmarin.

"Paris adalah pasukan yang hebat. Mereka berjuang untuk ke separuh akhir dan seterusnya ke final.

"Kami akan menganalisis beberapa perkara. Kami sedar mereka memiliki pemain yang pantas.

"Kami akan mencuba untuk menyusun pertahanan kami tetapi kami sedar bahawa kekuatan utama kami adalah meletakkan lawan berada dalam keadaan tertekan," tambahnya.