Ketua jurulatih Bayern Munich, Hansi Flick, amat yakin bahawa Kylian Mbappe akan memenangi Anugerah Ballon d'Or dalam kariernya.

Mbappe merupakan bintang yang paling mencuri tumpuan dalam perlawanan suku akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di antara Bayern dan Paris Saint-Germain (PSG), di mana dia menjaringkan dua gol untuk pasukannya mendahului wakil Jerman itu 3-2.

Jika penyerang berusia 22 tahun itu menemui sasaran di Paris dalam perlawanan timbal balik awal pagi esok, dia akan menjadi pemain Perancis pertama menjaringkan sembilan gol dalam satu musim UCL.

Mbappe telah menghasilkan 33 gol dan 10 bantuan jaringan sepanjang 39 penampilannya dalam kesemua kejohanan musim ini. Hanya penyerang Bayern, Robert Lewandowski (42) telah menjaringkan lebih banyak gol dan lebih banyak terlibat secara langsung dengan jaringan (50) selain Harry Kane (45).

Menjelang perlawanan timbal balik itu, Flick menjelaskan mengapa dia amat yakin bahawa Mbappe akan ditabalkan sebagai pemain terbaik dunia suatu hari nanti.

"Dia akan memenangi Ballon d'Or suatu hari nanti, saya amat-amat yakin mengenai perkara itu.

"Dia mempunyai segala-galanya. Dia pantas, mempunyai teknik yang baik dan perkara paling penting, dia menjaringkan gol," katanya.

Penyerang Bayern, Thomas Muller, turut mengagumi Mbappe dan mengakui bahawa sistem permainan juara Bundesliga itu akan sentiasa berdepan risiko apabila berdepan jentera serangan PSG.

"Dia amat berbahaya. Terutama dengan cara permainan kami, ruang yang kami ciptakan secara automatik.

"Neymar dan Mbappe kebiasannya suka menunggu di bahagian depan, mereka tidak bertahan tetapi mereka kekal berada dalam situasi berbahaya untuk serangan balas.

"Anda tidak akan pernah dapat mengawal mereka sepenuhnya sepanjang perlawanan," katanya.