Flick akui Bayern kekurangan beberapa peratus selepas diselamatkan Lewandowski

Oleh Muzaffar Musa 5 Oktober 2020 151
Flick akui Bayern kekurangan beberapa peratus selepas diselamatkan Lewandowski
Hansi Flick mengakui Bayern Munich "kekurangan beberapa peratus" selepas diselamatkan oleh Robert Lewandowski dengan kemenangan dramatik 4-3 ke atas Hertha Berlin dalam Bundesliga awal pagi tadi.

Rekod 32 perlawanan tanpa kalah juara bertahan Bundesliga itu ditamatkan dengan kekalahan 1-4 kepada Hoffenheim minggu lalu dan mereka hampir kehilangan dua mata kepada Hertha di Arena Allianz.

Lewandowski menjaringkan dua gol dalam babak pertama untuk memberikan Bayern pendahuluan tetapi Jhon Cordoba dan Matheus Cunha kembali mengikat kedudukan buat Hertha.

Penyerang prolifik, Lewandowski, melengkapkan hatriknya pada lima minit terakhir, namun jaringan Jessic Ngankam membuktikan kedegilan pelawat.

Ketika perlawanan itu kelihatan akan berakhir dengan keputusan seri, Lewandowski memenangi sepakan penalti dan menyudahkannya untuk memberikan Bayern kemenangan dalam waktu kecederaan.
 
Bayern menewaskan Schalke 8-0 dalam perlawanan pembukaan dan turut mengatasi Sevilla dan Borussia Dortmund, masing-masing dalam penentuan Piala Super UEFA dan DFL-Supercup, tetapi ketua jurulatih, Flick, berasakan masih terdapat ruang untuk penambahbaikan.

"Kita perlu mengambil kira situasi keseluruhan. Ia bukan sesuatu yang mudah buat pemain -- bukan semua mereka berada dalam 100 peratus," katanya kepada wartawan.

"Kami tahu kami boleh menambah baik bahagian pertahanan, bertindak sebagai satu unit dan memberikan tekanan buat lawan. Kami hanya kekurangan beberapa peratus buat masa ini.

"Tetapi saya gembira dengan mentaliti pasukan ini -- kami berada di tahap 100 peratus daripada aspek itu. Kami mempunyai keinginan untuk menang.

"Kini ia tentang menunjukkan bola sepak indah yang disukai semua orang selepas waktu rehat antarabanga. Kami masih boleh beraksi baik walaupun keletihan," katanya.

Empat gol Lewandowski merupakan hasil daripada 13 percubaan yang dilakukannya -- percubaan paling banyak dihasilkan seorang pemain dalam satu perlawanan Bundesliga sejak pemain Wolfsburg, Edin Dzeko, melakukannya ke Freiburg pada 2009.

Flick tidak keberatan dalam memuji pemain kebangsaan Poland itu sebagai wira kemenangan pasukannya.

"Dia menyudahkan empat peluang, Robert sememangnya seorang penjaring gol.

"Ia sesuatu yang amat penting buat saya kerana dia turut menambah elemen lain seperti melakukan umpanan dan bertahan.

"Dia masih melakukannya dan disebabkan itu saya amat gembira dengannya.

"Dia mempunyai kualiti yang istimewa tetapi cara kami bermain, ia tidak kelihatan seperti Bayern dan kami menyedarinya," tambahnya.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen