Fox Sport dengan kerjasama Astro mewujudkan program "Fix My Court" atas dasar tanggungjawab sosial dengan menaik taraf beberapa gelanggang futsal awam di sekitar Lembah Klang sebagai inisiatif merapatkan hubungan saluran televisyen dan juga masyarakat.

Setakat ini, lima gelanggang sudah menjadi sebahagian daripada projek yang telah diwujudkan sekitar Disember 2015.

Selain dua gelanggang yang dinaik taraf di Kampung Selayang dan Taman Kosas, Ampang; Kampung Segambut Dalam serta sebuah gelanggang di Petaling Jaya turut tersenarai dalam program itu.

Objektif utama program ini adalah untuk menyemarakkan lagi minat rakyat Malaysia dalam menjalani gaya hidup sihat dan bersukan.

Majlis dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda dan Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan Negeri Selangor, Amiruddin Ashaari.

"Selain menonton sukan di kaca televisyen, kami mahu membina minat terhadap sukan di kalangan rakyat Malaysia.

"Kami juga berfikir bagaimana kami dapat mengaitkan kandungan program kami dengan penonton, tiada apa yang lebih penting selain daripada memberikan mereka kemudahan yang baik," kata Pengarah Pemasaran Kumpulan Rangkaian Fox Malaysia, Penny Tan.