Marco Verratti cukup cergas untuk memulakan perlawanan final Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di antara Paris Saint-Germain (PSG) dan Bayern Munich tetapi status Keylor Navas masih menjadi tanda tanya.

Kecederaan betis menyaksikan Verratti terpaksa berlepas ke Portugal lebih lewat berbanding rakan sepasukannya dan terlepas kemenangan ke atas Atalanta dalam suku akhir, di mana penjaga gol, Keylor Navas, mengalami kecederaan paha.

Ketika Navas dan Idrissa Gueye tidak dapat diturunkan dalam perlawanan separuh akhir menentang RB Leipzig, pemain tengah Itali, Verratti, beraksi sebagai pemain gantian pada tujuh minit terakhir, di mana PSG sudahpun mendahului 3-0.

Tanpa sebarang insiden dalam latihan semalam, Verratti berkemungkinan akan berada dalam kesebelasan utama skuad kendalian Thomas Tuchel itu untuk berdepan Bayern dalam final di Estadio da Luz awal pagi esok.

Bagaimanapun, keberadaan Navas kini bergantung kepada keadaannya dalam sesi berkenaan.

"Marco dan Idrissa sudah berlatih bersama kami sejak perlawanan menentang Leipzig. Mereka tiada sebarang masalah dan akan terlibat dengan keseluruhan sesi latihan, jadi mereka boleh diturunkan," kata Tuchel.

"Keylor Navas pula kes yang berbeza. Dia cuba untuk berlatih secara normal. Ia merupakan kali pertama dia kembali berlatih. Akan ada keputusan sama ada ya atau tidak, ia berdasarkan hitam putih. Kami akan melihatnya selepas latihan."

Ditanya sama ada terlalu berisiko untuk meletakkan Verratti dalam kesebelasan utama, Tuchel berkata: "Ya, dia cedera tetapi ia bukan kecederaan otot, jadi risikonya tidak terlalu besar.

"Jika dia berasa selesa, jika dia tidak berada dalam kesakitan, ia sesuatu yang berbeza.

"Ia sama seperti Kylian (Mbappe). Adakah dia (Verratti) pilihan tepat untuk bermain selama 120 minit? Sudah tentu tidak.

"Persoalannya adalah 'adakah dia sudah bersedia untuk bermain?'

"Jika tidak ada apa-apa berlaku adalam latihan hari ini, jawapannya ya. Kemudian kami akan menentukan esok sama ada dia akan memulakan perlawanan atau tidak.

"Jika dia berada bersama pasukan dalam sesi latihan hari ini, tidak berasa sakit, dia dapat diturunkan esok.

"Amat jelas, dia tidak dapat beramin untuk 90 hingga 120 minit, terutama di bahagian tengah di mana kami menjangkakan terdapat banyak keamatan.

"Kami akan melihat sama ada dia boleh memulakan atau menamatkan permainan buat kami," katanya.