Kehadiran Neymar dan Kylian Mbappe tidak akan mengubah pendekatan menyerang Bayern Munich dalam final Liga Juara-JUara Eropah (UCL) menentang Paris Saint-Germain (PSG) di Lisbon awal pagi esok.

Juara Bundesliga itu mengganas sejak tiba di Lisbon dan layak ke final selepas menewaskan satu lagi pasukan Ligue 1, Lyon, dalam separuh akhir.

Ia selepas mereka membelasah Barcelona 8-2 dalam suku akhir.

Disebalik repiutasi itu, pendekatan garisan pertahanan tinggi yang digunakan Bayern kerap mendatangkan bahaya ketika menghadapi serangan pantas lawan -- satu faktor yang memberikan kelebihan buat PSG dengan rangkaian penyerang seperti Neymar, Mbappe dan Angel Di Maria.

Bagaimanapun, ketua jurulatih, Flick, menegaskan dalam sidang media menjelang penentuan di Estadio da Luz itu bahawa pihaknya tiada masa untuk mengubah formula terbaiknya itu, yang membantu gergasi Bavaria berkenaan merekodkan 20 kemenangan berturut-turut dalam kesemua kejohanan.

"Saya fikir ia adalah identiti kami untuk bermain dan bertahan dengan agak tinggi. Dengan melakukannya, kami tidak memberikan ruang buat lawan," kata Flick.

"Amat jelas akan ada banyak ruang di belakang empat pertahanan kami tetapi apa yang penting adalah untuk memberikan tekanan kepada bola.

"Kebiasaannya, jika bola terlepas ke belakang, kami perlu berlari dengan lawan kami.

"Kami dapat melihatnya dalam perlawanan menentang Lyon dan Barca.

"Jika anda membandingkan kesemua perlawanan itu, Paris adalah pasukan yang mempunyai kualiti besar, sama seperti Barcelona.

"Lyon adalah pasukan yang bermain secara terus ketika menyerang dan cuba menyudahkan peluang itu secepat mungkin, adakalanya dengan hantaran jauh.

"Amat penting untuk kami menutup lorong hantaran mereka dan tidak meninggalkan sebarang ruang.

"Kami sedar Paris mempunyai kepantasan, mereka pasukan dengan pemain yang hebat.

"Ia akan menjadi perlawanan yang menarik tetapi dalam 10 bulan ini, kami sudah terbiasa dengan falsafah itu.

"Kami memberikan tekanan di bahagian depan dan itulah rahsia kejayaan kami.

"Kami tidak akan mengubahnya terlalu banyak," katanya.