Kylian Mbappe berkata dia menyertai Paris Saint-Germain (PSG) untuk mencipta sejarah dengan memenangi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menjelang pertemuan final dengan Bayern Munich di Lisbon awal pagi esok.

PSG menewaskan RB Leipzig dalam separuh akhir untuk menempah tiket final UCL buat kali pertama dalam sejarah penubuhan mereka.

Mbappe pernah mara ke separuh akhir bersama Monaco pada 2017 sebelum berpindah ke ibu kota Perancis itu.

Pemain berusia 21 tahun itu kelihatan cergas selepas pulih daripada kecederaan buku lali dan berazam untuk memastikan PSG memenangi kejuaraan pertama dalam kejohanan tertinggi kelab Eropah berkenaan.

"Ini adalah sebab utama saya berada di sini," katanya dalam sidang media.

"Saya sentiasa katakan yang saya mahu mencatat sejarah dalam bola sepak Perancis. Saya mempunyai satu lagi peluang untuk melakukannya esok.

"Ketika saya tiba di sini pada 2017, PSG mengalami kesukaran. Kini kami berada dalam final.

"Ia menunjukkan kami tidak pernah berputus asa dan ia pasti menjadi sesuatu yang hebat untuk satu pasukan Perancis memenangi UCL. Itulah sebabnya saya menyertai pasukan ini.

"Amat jelas, agak sukar untuk bermain dalam perlawanan tertutup.

"Kami mahu peminat berada di sini tetapi mereka masih boleh menyokong kami.

"Ia masih final UCL. Ia tahun yang istimewa," katanya.

Mbappe, yang berkata dia masih berasa santai untuk menghadapi penentuan terakhir itu awal pagi esok, turut mengesahkan bahawa dia sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan yang dialaminya dalam final Coupe de France bulan lalu.

"Saya berasa semakin baik dari hari ke hari. Saya sudah pulih.

"Saya fikir perlawanan sebelum ini telah membantu saya mempersiapkan diri untuk menghadapi final.

"Munich adalah pasukan yang hebat tetapi setiap pasukan ada kelemahannya.

"Kami sedar mereka tidak menggemari untuk menukar cara permainan. Kami tidak sabar untuk beraksi esok," tambahnya.