Kingsley Coman akan memberikan saranan buat pertahanan Bayern Munich mengenai cara untuk menyekat bintang Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe, dalam final Liga Juara-Juara Eropah (UCL) hujung minggu ini.

Tahap kecergasan Mbappe menjadi kebimbangan dalam kejohanan mini di Lisbon itu selepas mengalami kecederaan buku lali dalam final Coupe de France, di mana PSG menewaskan Saint-Etienne.

Penyerang berusia 21 tahun itu, yang merupakan rakan sepasukan Coman dalam skuad kebangsaan Perancis, menjaringkan gol kemenangan ketika dimasukkan sebagai pemain gantian dalam perlawanan suku akhir menentang Atalanta sebelum disenaraikan dalam kesebelasan utama ketika menewaskan RB Leipzig 3-0 dalam separuh akhir kelmarin.

Bayern berhasil untuk menyekat Lionel Messi ketika mereka menyingkirkan Barcelona dengan kemenangan 8-2 di peringkat suklu akhir dan Coman akan mencuba untuk membantu pasukannya menghalang gerakan Mbappe di Estadio da Luz, Ahad ini.

"Saya sudah banyak kali bermain dengannya, jadi saya akan mencuba untuk memberikan segala saranan yang boleh saya berikan.

"Terdapat juga rakaman video dan saranan daripada jurulatih.

"Dengan semua ini, kami akan mencuba untuk menghentikan gerakannya.

"Dia seorang penyerang yang mencipta banyak peluang. Sama seperti ketika kami berdepan Lionel Messi, kami perlu mengharapkan dia akan bermain dengan permainan terburuknya.

"Kami akan mencuba memberikannya tekanan dan memastikan dia hanya dapat menyentuh bola dengan sedikit mungkin.

"Tetapi dia seorang pemain yang sentiasa boleh diharapkan, sama seperti Neymar dan (Angel) Di Maria," katanya.

Ketika Mbappe menjadi sebahagian daripada skuad Perancis yang memenangi Piala Dunia 2018 di Russia, Coman pula terlepas kejohanan itu kerana kecederaan.

Pemain sayap Bayern itu berkata kekecewaan berkenaan sudah berlalu dan dia tidak memerlukan motivasi tambahan untuk menjamin kejayaannya dalam UCL.

"Dua kejohanan itu tidak berkaitan. Kekecewaan saya dalam Piala Dunia sudah lama berlalu. Ia dua perkara yang amat berbeza.

"Saya masih mahu memenangi Piala Dunia tetapi hari ini, saya bersama kelab saya.

"Saya mahu memenangi UCL dan saya berharap kami akan menjulang trofi itu Ahad ini," tambahnya.