Ketua jurulatih Bayern Munich, Hansi Flick, akan membuat keputusan saat-saat akhir untuk menurunkan Jerome Boateng dalam final Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang Paris Saint-Germain (PSG) di Lisbon awal pagi esok.

Boateng dikeluarkan selepas separuh masa ketika pasukannya menewaskan Lyon 3-0 dalam separuh akhir disebabkan masalah otot.

Pemain tengah berusia 31 tahun itu menyertai sesi latihan Bayern di Estadio da Luz semalam dan Flick akan melakukan ujian kecergasan terakhir untuk menilai sama ada Boateng boleh disenaraikan dalam kesebelasan utamanya.

"Saya seorang jurulatih yang akan menunggu sehingga sesi latihan terakhir dan kemudian bercakap melalui staf dan berfikir mengenai apa yang boleh berlaku esok," kata Flick yang memasukkan Nicklas Sule untuk bergandingan dengan David Alaba dalam 45 minit kedua perlawanan menentang Lyon itu.

"Itulah yang akan kami lakukan. Harap-harap Jerome cergas dan melepasi ujian itu.

"Selepas latihan, saya akan duduk dengan jurulatih saya dan berbincang mengenai pemain yang akan kami turunkan," katanya.

Benjamin Parvard kembali diturunkan sebagai pemain gantian ketika menentang Lyon tetapi Flick menegaskan pemain pertahanan itu tidak akan diturunkan untuk beraksi selama 90 minit kerana baru pulih daripada kecederaan buku lali.

"Terdahulu, saya gembira apabila Benjamin Parvard dapat menyertai kami di Portugal, jadi ia menjadi bukti kepada kerja keras yag dilakukan pasukan perubatan kami.

"Dia bermain dengan baik musim ini dan pemain yang amat penting untuk pasukan ini dengan kedudukan dan kehadirannya.

"Jadi, dia adalah pilihan buat kami.

"Tetapi saya juga sedar bahawa saya tidak 100 peratus yakin bahawa dia boleh bermain dari awal perlawanan.

"Tetapi kami akan melakukan penilaian, sama seperti Jerome Boateng, untuk melihat sama ada dia sudah 100 peratus pulih atau tidak," katanya lagi.