Pengendali skuad Piala Presiden T-Team, Mohd Nafuzi Zain, melihat peluang seimbang buat pasukannya dan juara bertahan, Kelantan, memburu kemenangan dalam aksi final pusingan pertama di Kota Bharu, malam esok.

“Ini adalah penampilan sulung T-Team di pentas final dan kedua peribadi buat saya selepas membawa Kelantan menjuarai kejohanan ini musim lalu.

“Saya tidak menjangkakan mampu ke final dua tahun berturut-turut, jadi ini peluang terbaik kami bergelar juara."

Nafuzi, yang juga wira juara Piala Malaysia 2001 bersama Terengganu, turut membawa misi peribadi untuk mencipta sejarah bersama T-Team, apatah lagi kejayaan Kelantan menjulang Piala Presiden musim lalu adalah di bawah kendaliannya.

“Peluang seimbang buat kedua-dua pasukan kerana masing-masing mempunyai kelebihan sendiri.

“Bergelar jurulatih mereka musim lalu, saya sedikit-sebanyak tahu cara permainan Kelantan dan saya kenal mereka, jadi saya akan membuat percaturan terbaik.

“Namun, itu tidak menjadi kelebihan buat kami kerana peluang tetap sama rata dan aksi final ini sudah tentu satu perlawanan yang menarik untuk saya dan T-Team,” tambahnya lagi.