Pertahanan negara, Syazwan Andik Ishak, sanggup mengetepikan segala kesakitan untuk memastikan impiannya beraksi di pentas akhir Piala AFF 2018 tercapai demi membantu misi Harimau Malaya menewaskan Vietnam dalam aksi final kedua Piala Suzuki AFF di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi, malam esok.

Syazwan dibelenggu masalah hamstring yang menyebabkannya tidak dapat diturunkan dalam dua perlawanan terdahulu, iaitu dalam aksi separuh akhir kedua bertemu Thailand dan pertemuan pertama final di Bukit Jalil, Selasa lalu.

"Kalau dapat diturunkan, saya akan berasa sangat gembira kerana bukan mudah untuk memiliki peluang beraksi dalam final Piala AFF.

"Daripada segi kecederaan, saya sudah boleh mengikuti latihan pasukan," katanya.

Kelibat Syazwan kembali ditagih ekoran kecederaan yang menimpa seorang lagi pertahanan kiri, Nazirul Naim Che Hashim, ketika mengikat Vietnam 2-2 dalam pertemuan pertama final, Selasa lalu.

"Saya perlu bersedia sepenuhnya kerana bukan mudah untuk beraksi dalam final.

"Vietnam terkenal dengan keupayaan melancarkan serangan balas yang pantas.

"Benteng Malaysia perlu bersedia untuk mengekang mereka," katanya lagi.