Pemain tengah negara, Syamer Kutty Abba, mengakui Harimau Malaya perlu berhabis-habisan mengelak daripada melakukan kesilapan, terutama di bahagian tengah, dalam memastikan kemenangan Piala AFF 2018 di Hanoi, Vietnam, mampu dicapai.

Skuad negara melakukan kesilapan berulang di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Selasa lalu yang menyaksikan kesilapan sendiri pemain negara di bahagian tengah membolehkan skuad Naga Emas itu membuka tirai gol sebelum memaksa skuad negara bangkit mengikat kedudukan 2-2 dalam pertemuan pertama perlawanan akhir itu.

Situasi sama berlaku ketika skuad negara tewas 0-2 kepada lawan yang sama di peringkat kumpulan, 16 November lalu.

Enggan insiden sama berulang, Syamer selaku perancang tengah berharap semua pemain lebih fokus dalam perlawanan penentuan, esok.

"Aksi di Hanoi pasti lebih sukar berbanding di Bukit Jalil.

"Kami perlu mengelak daripada melakukan sebarang kesilapan sebab mereka akan menggunakan kesilapan itu untuk menghasilkan gol," katanya.

Syamer yang bergandingan dengan Akram Mahinan menghidupkan jentera tengah dengan baik pada Selasa lalu.

Justeru, dia bertekad untuk menggandakan usahanya dalam aksi timbal balik di tempat lawan.

"Saya perlu terus memperbaiki permainan, oleh itu saya perlu menggandakan lagi usaha," katanya lagi.