“Tiket itu untuk penyokong Vietnam.”

Demikian penjelasan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, yang tampil memberi penjelasan sebenar mengenai isu pemberian 2,800 tiket aksi pertama final Piala Suzuki AFF 2018 kepada seorang netizen bernama Nur Iman Dzakirah.


Stuart terkejut dengan gambar yang dimuat naik di laman Facebook itu sehingga menjadi tular dalam kalangan netizen, lantas memburukkan imej FAM.

Dia menjelaskan bahawa wanita itu merupakan salah seorang pegawai akaun eksekutif di syarikat penerbangan Vietnam dan hanya bertanggungjawab menyerahkan tiket tersebut kepada penyokong Vietnam.

Malah, satu laporan polis telah dilakukan pagi tadi oleh wanita terbabit bagi membetulkan salah faham yang berlaku.

"Kami telah memanggil pihak VFF untuk datang mengambil tiket buat pasukan bertandang. Jadi, tiket yang tular dalam Facebook itu adalah untuk pasukan lawan, bukan berunsur bayaran atau penjualan secara haram kepada individu tertentu," katanya.

Stuart telah memanggil pihak Persekutuan Bolasepak Vietnam (VFF) di Wisma FAM supaya tiada kekeliruan timbul.

Usaha itu penting memandangkan FAM mahu meraih kerjasama VFF dalam peruntukan tiket kepada penyokong negara itu dalam aksi final kedua di Hanoi, Sabtu ini.

"Di Hanoi, kami sudah buat tempahan awal sebanyak 1,200 tiket tetapi perbincangan bersama VFF menyaksikan kami cuba mengurangkan jumlah 3,200 tiket agar kawasan keselamatan tidak terlalu padat. Jumlah 3,200 tiket itu memang padat."