"Saya bersyukur kami terus diberikan peluang untuk bernafas."

Demikian reaksi pertahanan negara, Adam Nor Azlin, yang membuat penampilan sulung dalam Piala Suzuki AFF 2018 selepas skuad Harimau Malaya terikat 2-2 dengan Vietnam dalam aksi final pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.


"Alhamdulillah, kami masih diberikan ruang untuk bernafas sebaik meraih keputusan 2-2.

"Walaupun kami hanya mempunyai satu jalan di Hanoi (mencari kemenangan), saya yakin dengan semangat yang dimiliki barisan pemain negara, kami mampu meraih kejuaraan yang dinanti-nantikan keseluruhan peminat tanah air," katanya.

Adam menggantikan Nazirul Naim Che Hashim yang cedera di bahagian pertahanan kiri.

Walaupun mengakui kekok beraksi di bahagaian itu buat pertama kali, dia tetap gembira dengan prestasi yang dipamerkannya.

"Jurulatih memasukkan saya bagi menggantikan Nazirul yang cedera dan mengubah strategi pasukan kepada formasi 3-4-3 tidak lama selepas itu.

"Walaupun tidak pernah beraksi di posisi itu sebelum ini, Alhamdullilah, segalanya berjalan lancar.

"Bagaimanapun, saya perlu memperbaiki prestasi itu dan bermain sepenuh hati dalam aksi final kedua di Hanoi nanti," tambahnya.

Perlawanan akhir kedua akan berlangsung di Stadium My Dinh, Hanoi, Sabtu ini.