Jurulatih Vietnam, Park Hang Seo, memburu penamat sempurna buat bola sepak Vietnam tahun ini dengan memastikan pasukannya mengetepikan cabaran Malaysia dalam final kedua Piala Suzuki AFF 2018 di Hanoi untuk muncul juara malam esok.

Hang Seo dianggap sebagai individu penting yang mengubah landskap bola sepak Vietnam sejak tahun lalu.

Ia menerusi kejayaannya membawa skuad B-23 Vietnam muncul naib juara Kejohanan AFC B-23 di China, Januari lalu, dan membawa pasukan itu ke separuh akhir Sukan Asia Indonesia 2018.

Selain memastikan skuad Naga Emas itu layak ke pusingan akhir Piala Asia 2019, Hang Seo mengakui kecemerlangan itu lebih manis jika dilengkapi dengan kejayaan memenangi Piala AFF.

"Saya mengambil alih pasukan ini tahun lalu dan saya cukup berbangga dengan kejayaan pasukan ini di China dan Indonesia sebelum ini.

"Jadi, saya mengharapkan kami mampu menjuarai kejohanan sebagai pelengkap kecemerlangan pasukan ini tahun ini," katanya.

Hang Seo yang sempat menjadi pembantu kepada jurulatih ternama, Guus Hiddink, bersama skuad Korea Selatan dalam Piala Dunia 2002, bagaimanapun tetap berwaspada untuk berdepan Malaysia.

Beliau tidak menganggap faktor gol di tempat lawan menjadi kelebihan kepada pasukannya sekalipun mengakui kehadiran penyokong akan menyuntik semangat pemainnya untuk melunaskan misi kemenangan.

"Pemain saya berjaya menampilkan aksi terbaik di hadapan penyokong lawan di Bukit Jalil, Selasa lalu. Jadi, saya percaya pemain saya akan beraksi lebih baik kerana akan beraksi di hadapan penyokong sendiri pula," tambahnya.

Sementara itu, pengamal media tempatan Vietnam bersikap optimis terhadap kemampuan skuad Naga Emas itu untuk menewaskan Malaysia dalam aksi final kedua untuk muncul juara.

Keyakinan mereka berlandaskan kelebihan Vietnam menerusi gol di tempat lawan selain beberapa faktor lain seperti beraksi di hadapan penyokong sendiri dan cuaca sejuk yang dijangka menjadi penghalang kepada skuad negara.

"Kami harap dapat mengekalkan kelebihan jaringan di tempat lawan.

"Keputusan 0-0 atau 1-1 akan menobatkan kami sebagai juara.

"Sepuluh tahun lalu, kami bergelar juara dan kami berharap dapat mengulanginya kerana pemain dalam edisi kali ini merupakan generasi pemain yang hebat," ujar wartawan VN Express, Lam Thua.

"Kelebihan berpihak kepada Vietnam kerana kami akan bermain di tempat sendiri," kata jurugambar sambilan, Adrian Lim.