Final Piala AFF: Jualan tiket final kedua ditutup

Oleh Bernama 13 Disember 2018 681
Final Piala AFF: Jualan tiket final kedua ditutup
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah menutup permohonan pembelian tiket final kedua Piala AFF Suzuki 2018 di antara Malaysia dan Vietnam di Hanoi, tengah malam tadi.

FAM dalam satu kenyataan ringkas menerusi laman Facebooknya memaklumkan sebarang pembelian yang dibuat selepas tempoh berkenaan, tidak akan diproses dan disahkan.

Badan induk itu turut berterima kasih kepada penyokong skuad Harimau Malaya yang sudah membeli tiket menerusi mereka untuk menyaksikan perlawanan berkenaan yang akan berlangsung di Stadium My Dinh, Hanoi, Sabtu ini.

"Sokongan anda sangat dinanti-nantikan bagi menyemarakkan lagi semangat pemain-pemain Harimau Malaya dalam memburu kemenangan di Hanoi untuk menjulang trofi kejuaraan itu," jelas FAM dalam kenyataan berkenaan.

Persekutuan Bolasepak Vietnam (VFF) sebelum ini memperuntukkan sebanyak 3,000 tiket kepada penyokong Malaysia untuk aksi kedua Piala AFF di Hanoi.

Untuk rekod, Malaysia bangkit daripada ketinggalan sebelum mencatat keputusan 2-2 dengan Vietnam dalam aksi final pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa lalu.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen